Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Sirah Muzikal

ISMA DHL di Sinar Harian

Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA DHL) menjemput semua muslimin dan muslimat untuk sama-sama hadir bagi memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Tarikh : 25 September 2010
Hari : Sabtu
Masa : 2 pm – 4 pm
Tempat : Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi
Pakaian : Digalakkan memakai Baju Melayu raya dan Baju Kurung raya (jika ada)


Assalamualaikum w.b.t,

Saya mewakili ahli-ahli ISMA DHL mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Maaf Zahir Batin, Kullu ‘Am wa antum Bikhair kepada semua muslimin dan muslimat khususnya yang tinggal di daerah Hulu Langat dan Sepang.

Hari raya bagi kita adalah merupakan hari meraikan kemenangan melawan hawa nafsu setelah sebulan menjalani ibadah di bulan Ramadan. Justeru marilah kita menyambutnya dengan penuh syukur dan keinsafan. Apa yang kita harapkan ialah agar kita benar-benar menjadi umat Islam yang bertaqwa dan memiliki cita-cita yang besar untuk agama ini.

Sebagaimana lazimnya umat Islam menyambut Syawal dengan menghidupkan amalan mulia seperti bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi dan tidak lupa juga bersedekah kepada fakir miskin dan memberi hadiah kepada anak-anak kecil. Semuanya ini menghidupkan roh kasih sayang sesama umat Islam dan menguatkan hubungan persaudaraan.

Kita mengharapkan agar amalan murni ini akan berkekalan dan mengikis terus perselisihan dan perbalahan sesama umat Islam yang merosakkan kekuatan ummah. Kita mahukan agar semangat Eidul Fitri yang lahir dari ketaqwaan madrasah Ramadan akan menjadikan kita satu bangsa yang kuat yang mampu mentadbir tanah air ini dengan syariat Islam. Cukuplah sudah episod-episod hitam persengketaan sesama saudara dan bangsa dan kita gantikannya dengan harapan yang baru. Kita bina kedaulatan Islam di negara ini dengan membentuk kesepakatan di atas kepentingan yang sama.

Akhirnya, kita terus berusaha untuk merealisasikan cita-cita ini dan berdoa agar Allah swt memberikan taufiq kepada seluruh umat islam khususnya di Malaysia agar kita mampu menjadi khairah ummah.

Sekali lagi, saya mewakili warga Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Kullu ‘Am wa antum Bikhair.

Wassalamualaikum w.b.t,

Mohd Noor Azib Asmangi
NYDP ISMA DHL

Bismillahi walhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah s.a.w., waba’du.

Muslimin Muslimat yang berbahagia,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Hari ini 10 September 2010 bersamaan 1 Syaawal 1431H, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang dibesarkan oleh Allah s.w.t yang dipanggil Hari Raya Eidul Fitri.

Setelah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, Baginda mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya, “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak Zaman Jahiliyyah lagi”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda,“Sesungguhnya Allah telah menggantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid”.

Pada hari ini lazimnya berdasarkan gesaan sunnah, umat Islam akan menghidupkan amalan-amalan mulia seperti bermaaf-maafan, menyambung silaturrahim, ziarah-menziarahi, bersedekah dan bersalam-salaman antara satu sama lain. Itulah amalan yang dilakukan oleh umat Islam khususnya di Malaysia semenjak turun-temurun.

Justeru saya mewakili warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) seluruhnya mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin, wakullu ‘am wa antum bikhair (semoga beroleh kejayaan sepanjang tahun). Warnailah hari mulia ini dengan pelbagai aktiviti yang boleh membesarkan lagi syiar ubudiah kepada Allah. Meriahkan dengan pelbagai aktiviti menghidupkan sunnah dan amalan-amalan mulia. Kita percaya umat Islam di Malaysia adalah mereka yang kuat berpegang kepada suruhan agama.

Hari raya pada hakikatnya satu hari besar yang diraikan oleh Islam sebagai tanda kemenangan umat Islam sepanjang Ramadhan dalam perjuangan jihad nafsu. Dalam Islam banyak jenis jihad yang kita perlu lakukan, antaranya jihad peperangan, jihad ilmu, jihad munafik dan jihad nafsu. Dengan kejayaan jihad nafsu, jihad-jihad lain akan menjadi lebih mudah.

Muslimin Muslimat sekalian,

Dalam situasi umat Islam di seluruh dunia hari ini sedang berjuang untuk meneruskan survival dalam segenap lapangan hidup, umat Islam terpaksa melakukan keempat-empat jenis jihad ini. Dalam mereka berpuasa ada di kalangan mereka yang berjuang menentang penjajah, ada yang berjuang dengan kejahilan sebahagian umat Islam sendiri yang sanggup bekerja untuk kepentingan musuh (menjadi musuh dalam selimut), ada kawasan umat Islam yang masih sangat mundur yang menuntut mereka berjuang untuk membangunkan diri dengan ilmu. Jadi dalam mereka berpuasa mereka juga berjihad dalam pelbagai lapangan lain.

Saya berharap puasa Ramadhan tahun ini telah memberi kekuatan perjuangan kepada umat Islam untuk mereka menebus diri dari keadaan lemah, jahil, tertindas dan berpecah-belah untuk kembali menjadi umat yang kuat dan memimpin. Puasa bukan sekadar menjalankan rutin tahunan untuk menahan diri atau berlapar dari makan dan minum tetapi lebih dari itu, iaitu untuk menyediakan umat bagi perjuangan yang lebih besar dan panjang.

Firman Allah s.w.t, “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Dia akan menjadikan mereka pemimpin di dunia ini seperti Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka pemimpin…”.

Puasa perlu dikaitkan dengan realiti umat Islam sekarang untuk kita memahami maqasid yang lebih besar. Di Malaysia, puasa yang merupakan jihad nafsu sepatutnya memberikan kita kekuatan untuk bersatu di atas satu agenda bersama. Membiarkan diri umat Islam terus berada dalam suasana diperkotak-katikkan oleh pelbagai ketamakan politik asing adalah sesuatu yang bertentangan dengan maqasid puasa. Puasa sepatutnya mendisiplinkan diri kita daripada terlalu cintakan kuasa dan kedudukan (hubbub riasah)sehingga menyebabkan perbalahan yang tiada nokhtah dan menatijahkan konflik antara umat Islam yang melampaui batasan wala’ dan persaudaraan seagama.

Firman Allah s.w.t, “Dan orang-orang kafir sebahagian mereka saling membantu sebahagian yang lain. Sekiranya kamu tidak melakukan seperti itu (saling bantu membantu) nescaya akan berlaku huru-hara di muka bumi dan kerosakan yang besar… “.

FirmanNya lagi, “Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat…”.

Muslimin Muslimat sekalian,

Umat Islam perlu mempertahankan saki-baki kuasa dan kelebihan yang masih ada. Kita memerlukan sebuah negara yang kuat dan dihormati. Hari ini apabila politik dalaman kita  kacau-bilau, negara telah menjadi lemah pada pandangan orang lain. Bila negara lemah, maruah kita pun – tidak kira di pihak mana kita – akan diperlekehkan  dan dipandang rendah. Bangsa-bangsa lain akan mengambil kesempatan atas kelemahan ini untuk merebut saki-baki peninggalan warisan silam. Di luar negara musuh cuba membuat kacau-bilau bagi  memberi tekanan supaya mereka dapat memenangi rundingan dan sebagainya. Dan keadaan yang tidak stabil juga telah menggiurkan pihak asing untuk masuk campur dalam urusan dalaman negara kita.

Firman Allah s.w.t, “Dan orang-orang kafir mahu supaya kamu lalai terhadap senjata-senjata kamu lalu mereka menyerang kamu…”.

Puasa sepatutnya mendidik nafsu kita bukan sahaja menahan diri dari kehendak syahwat, makan dan minum tetapi juga memberi kekuatan mengawal syahwat kita dari kerakusan perebutan kuasa yang membutakan mata kita daripada melihat kepentingan kedaulatan negara dan maruah bangsa dipertahankan.

Firman Allah s.w.t, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan RasulNya, jangan kamu bercakaran, lalu kamu rosak dan hilang kekuatan kamu. Bersabarlah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang sabar”.

Muslimin Muslimat sekalian,

Ambillah kesempatan daripada hari yang mulia ini untuk kita mengamalkan sunnah dengan memulihkan hubungan sesama Islam, mengukuhkan perpaduan dan berpegang teguh dengan tali Allah, iaitu al-Islam. Ada tanggunjawab wala’ (kesetiaan dan saling membantu) di kalangan kita. Jangan kita dilekakan oleh agenda jahiliyyah yang menjadikan hari raya untuk berhibur dan berfoya-foya sehingga melalaikan kita daripada kewajiban dan tugas (risalah) kita yang besar. Mereka  adalah orang yang mencari makan atas kemusnahan bangsa dan mengambil kesempatan atas kelalaian ini.

Firman Allah s.w.t, “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan kamu berpecah belah. Kamu ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan lalu Allah mentautkan hati-hati kamu, lalu dengan nikmatNya kamu menjadi bersaudara”.

FirmanNya lagi, “Dan janganlah kebebasan orang-orang kafir di dalam negeri menipu kamu. Itu adalah keseronokan yang sedikit. Kemudian tempat kembali mereka adalah Neraka Jahannam. Itulah seburuk-buruk tempat”.

Marilah kita berpegang teguh dengan asas-asas pegangan agama dan umat kita. Jangan kita terpengaruh dengan pelbagai propaganda yang cuba melebur dan mencairkan identiti kita. Kalau orang kafir atas kekafiran mereka sanggup berjuang untuk mempertahankan identiti mereka tanpa tolak ansur, kenapa kita umat risalah, umat nabi yang membawa wahyu dari langit sanggup untuk mengorbankan apa sahaja. Ini bukan lagi tolerensi namanya tetapi sebaliknya adalah satu kebaculan atau kebodohan politik. Bagaimana umat yang menyembah Allah sanggup membiarkan dirinya menjadi mangsa politik bukan Islam yang minoriti.

Firman Allah s.w.t, “Dan keagungan itu adalah milik Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, akan tetapi orang-orang munafik tidak mengetahui”.

Kita cintakan perpaduan antara kaum, kita setuju untuk membela nasib semua kaum yang tidak bernasib baik, kita berjuang  untuk hidup harmoni tetapi tanpa mengorbankan asas-asas pegangan kenegaraan Islam yang kita imani.

Firman Allah s.w.t, “Allah tidak menegah kamu berbuat kebajikan dan keadilan kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak pula menghalau kamu keluar dari rumah-rumah kamu…”.

Umat Islam harus membezakan antara isu sosial dengan propaganda politik. Sekarang orang keliru kerana berlaku campur aduk yang banyak dan kecelaruan istilah antara hak asasi Barat dan Islam. Kita tidak mahu hanya kerana ingin menyatakan keprihatinan terhadap beberapa kerat non-muslim yang tidak terbela, kita sanggup mengubah teras kenegaraan dan menyahut seruan kesamarataan mutlak atau terjebak dalam agenda Malaysian Malaysia. Jadilah kita bercakap Islam dengan mafhum ideologi Barat.

Muslimin Muslimat sekalian,

Marilah sempena hari mulia, hari kemenangan ini kita pulihkan rasa mulia diri dalam diri kita. Jadilah umat yang sensitif terhadap maruah dan kemuliaan diri mereka. Jangan kita menjadi umat yang bacul yang sudah tiada maruah lagi. Jangan tunggu musuh masuk ke dapur, melingkupkan periuk nasi dan mencabul anak isteri, baru kita nak sedar dan faham. Waktu itu sudah terlambat… dan nasi tentu sudah menjadi bubur.

Firman Allah s.w.t, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.”

Umat yang memiliki risalah dan perjuangan akan memahami patah-patah perkataan yang saya sebutkan ini dengan baik. Ambillah pengajaran dari apa yang berlaku di sekitar kita. Janganlah harapkan orang lain yang akan memperjuangkan maruah kita dan membela nasib kita.

Kembalilah kepada Allah, Rasul dan wala’ sesama Islam. “Sesungguhnya orang kafir mereka saling setia dan bantu-membantu sesama mereka, jika kamu tidak melakukan seperti mereka akan berlaku fitnah yang  besar (orang kafir akan mengenakan syarat ke atas kamu) dan kerosakan yang besar”.

Saya mewakil seluruh ahli ISMA di dalam dan luar negara mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Semoga beroleh kemenangan dan kejayaan sepanjang tahun. Eidun sa’ed wakullu ‘am wa antum bikhair.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Salam Ukhuwwah, Salam Mahabbah.

Sekian.

والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

Para peserta bersama jemaah masjid UIA bersama-sama membaca ma'thurat selepas solat subuh

Gombak – Seramai lebih kurang 80 ahli ISMA dan PEMBINA dari Cawangan Hulu Langat telah  menyertai program Iktikaf Perdana Zon Tengah di Masjid Universiti Islam Antarabangsa pada 4 September 2010.

Program ini telah disertai oleh hampir 300 orang ahli-ahli PEMBINA dan ISMA zon tengah yang terdiri daripada cawangan-cawangan Gombak, Hulu Langat, Shah Alam dan Klang.

Ini merupakan jumlah peserta paling ramai pernah dicapai sejak ‘pesta ibadah’ Ramadhan tahunan ini diadakan oleh ISMA sejak beberapa tahun lepas. Teruskan pembacaan »

Para peserta bergambar di perkarangan Masjid Sultan Mizan

Putrajaya, 31 Ogos – Para aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Hulu Langat bersama rakan-rakan dari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-53 dengan mengadakan satu program berjalan kaki sekitar kawasan Masjid Sultan Mizan (Masjid Besi) di Putrajaya sejauh 5 km untuk mengambil iktibar dan menghayati perjuangan Perang Badar sebagaimana yang tercatat dalam sirah Rasulullah s.a.w.

Aktiviti ini adalah sebahagian daripada program tahunan bulan Ramadhan yang dikenali sebagai Kembara Badar, telah disertai oleh lebih 100 orang peserta dan memberi peluang kepada para peserta untuk saling berkenalan dan menjalin ukhuwwah di sepanjang perjalanan.

Ustaz Annuar Salleh, Yang Dipertua ISMA Cawangan Hulu Langat, dalam penyampaiannya semasa kembara tersebut, menekankan beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada kemerdekaan Malaysia dan peperangan Badar yang dinyatakan dalam surah Al-Anfal.

Teruskan pembacaan »

BANDAR BARU BANGI – Sebuah majlis berbuka puasa bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada 23 Ogos 2010 di Hotel Residence sempena Ramadhan, sekaligus membuka peluang untuk duduk berbincang tentang perkara-perkara yang boleh dikongsi bersama.

Dalam majlis tersebut, Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA, telah memperkenalkan para ahli jawatankuasa ISMA kepada para hadirin serta menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bekerjasama dalam menjalankan program-program yang boleh membawa manfaat bersama dalam usaha ISMA untuk merapatkan kerjasama dengan NGO-NGO lain.

Teruskan pembacaan »

Bandar Baru Bangi – Kelab Remaja ISMA Daearah Hulu Langat (KRIM DHL) dengan kerjasama surau al-Islah, Taman Kajang Mewah telah menganjurkan Program Remaja dan Ramadhan : We Love Solat selama 2 hari 1 malam iaitu 28 dan 29 Ogos 2010.

Teruskan pembacaan »