Feeds:
Kiriman
Komen-komen

21 November 2010, Bandar Baru Bangi – ISMA DHL dengan kerjasama I-Medik Selangor dan Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah telah menganjurkan program SUNATHON iaitu majlis berkhatan beramai-ramai. Program Sunathon ISMA ini adalah inisiatif dari Biro Wanita dan Keluarga ISMA DHL serta NAZIM (Nadi Asybal wa Zahrawat) DHL.

Objektif utama program ini adalah untuk mempraktikkan upacara berkhatan dan mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. SUNATHON juga bertujuan untuk menyemarakkan hubungan kemasyarakatan dan semangat gotong royong di antara NGO dan masyarakat setempat. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mempromosikan ISMA amnya dan I-Medik Selangor khasnya di kalangan masyarakat Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar.

Seramai 12 peserta telah menyertai program yang julung kalinya diadakan ini. Mereka berumur di antara 4 hingga 12 tahun yang terdiri daripada anak-anak masyarakat Bandar Baru Bangi dan Kajang.

Majlis dimulakan dengan ucapan Saudara Mohd. Nor Azib Asmangi, NYDP ISMA DHL, diikuti dengan ucapan daripada Dr. Azizi Ayob sebagai wakil i-Medik Selangor dan ucapan daripada Ustaz Anuar Fakri sebagai Pengerusi Surau al-Islah. Peserta-peserta sunathon yang segak berbaju Melayu kemudiannya diarak masuk ke kawasan surau oleh bapa atau penjaga masing-masing dengan diiringi bunga manggar dan paluan kompang oleh pasukan kompang Taman Kajang Mewah. Peserta kemudiannya dijamu dengan makan beradap, sebelum mereka berbaris untuk acara kemuncak iaitu bersiram.

“ Seronoknya…kena dukung, dapat makan sedap, dapat hadiah…dapat main air. Rugilah kalau tak join Sunathon” ulas salah seorang peserta yang begitu teruja dengan program ini.

Peserta kemudiannya dibawa secara berperingkat mengikut giliran masing-masing ke klinik MAHA di Sungai Ramal Dalam untuk berkhatan. Prosedur berkhatan disempurnakan oleh Dr Mahadhir dan Dr Norzaidi dengan dibantu oleh ahli-ahli I-Medik terdiri daripada pelajar perubatan dan doktor pelatih.

“Saya tak takut pun …sebab ramai kawan-kawan yang berkhatan sama-sama.” jawap salah seorang peserta sebaik sahaja selesai dikhatankan apabila ditanya tentang perasaan beliau.

Alhamdulillah, program berakhir tanpa sebarang masalah sekitar jam 2 petang.

 

Advertisements

SEPANG, 22 November – Kelab Remaja ISMA Daerah Hulu Langat (KRIM DHL) telah bekerjasama dengan Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMEL) bagi mengendalikan Perkhemahan Kepimpinan Pengawas SAMSMEL di Nur Bukit Unggul, Jenderam Hulu yang disertai oleh 41 orang pelajar dari sekolah tersebut.

Peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 4 telah berkhemah selama 3 hari 3 malam di Nur Bukit Unggul untuk mendengar 3 ceramah, menjalani pelbagai bengkel kepimpinan, dan mengharungi aktiviti-aktiviti luar yang menjurus ke arah pembangunan jati diri seorang pemimpin.

“Pada pendapat saya, perkhemahan ini sangat banyak mengajar saya erti kepimpinan, contohnya game trust fall yang kami lakukan telah membuktikan perlunya kita mempercayai rakan-rakan setugas kita untuk menjayakan satu-satu misi dalam tugas kita sebagai pengawas sekolah,” kata Adik Anas semasa diberi peluang berucap dalam majlis penutup perkhemahan tersebut.

“Pihak sekolah sangat berterima kasih kepada KRIM DHL atas kerjasama yang telah diberikan dalam mengendalikan perkhemahan ini,” kata Puan Aisyah selaku pengarah program tersebut.

Peserta-peserta perkhemahan tersebut telah mendapat pelbagai ilmu dan kemahiran daripada penceramah-penceramah yang berpengalaman sendiri menjadi pengawas sewaktu di bangku persekolahan dan berjaya terus maju dengan sifat-sifat dan ciri-ciri kepimpinan mereka iaitu Saudara NorZafry Bin NorHalim, Ustaz Anhar Bin Opir dan Ustaz Salman Abdul Rahman.

“Saya percaya kepada pendekatan usrah mampu membimbing pelajar ke arah peribadi yang hebat, dan bersempena dengan cadangan kementerian berkenaan langkah ini, saya mahu anda para pengawas sekolah terlebih dahulu melalui pendidikan ini dengan sistem yang baik serta teratur dan tersusun,” kata Ustaz Yaziz kepada para peserta dalam majlis penutup tersebut selaku wakil sekolah merangkap Guru Penolong Kanan SAMSMEL.

BANGI, 7 November – 19 pasukan telah berentap untuk merebut piala pusingan dalam Karnival Futsal NAZIM 2010 yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Nadi Asybal Wa Zahrawat Daerah Hulu Langat (NAZIM DHL) bertempat di Galaxy Futsal, Seksyen 15, Bandr Baru Bangi.

Penyertaan yang menggalakkan itu terdiri daripada pelbagai peringkat komuniti di sekitar Bangi, termasuklah penyertaan daripada sekolah-sekolah, taman perumahan, dan pasukan-pasukan yang terlatih.

“Selain daripada objektif yang biasa kita tekankan seperti memupuk silaturrahim dan ukhuwah di kalangan anak-anak, NAZIM pada kali ini lebih berkeyakinan untuk membuka dan memasarkan pakej NAZIM kepada masyarakat setempat,” jelas Puan Raba’iah, selaku wakil AJK penganjur kejohanan.

Piala pusingan kali ini dirangkul oleh Pasukan SEJATI setelah menumpaskan kumpulan TS1 dengan 2 gol berbalas 1 dalam perlawanan akhir karnival tersebut.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan SK Seksyen 7 setelah berjaya menumpaskan kumpulan J4 Plus dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Karnival bermula seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran peserta yang bersemangat untuk bertanding datang mendaftarkan diri bersama pengurus pasukan mereka, dan berakhir dengan majlis penutup sekitar jam 2.00 petang.

Saudara Azib, Naib Yang Di-Pertua ISMA Daerah Hulu Langat berkata di dalam majlis penutup, “Pertandingan ini diharapkan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan anak-anak kita untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti bermafaat di luar waktu sekolah mereka.”

Bismillahi walhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah s.a.w., waba’du.

Muslimin Muslimat yang berbahagia,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Hari ini 17 November 2010 bersamaan 10 Zulhijjah 1431H, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang dibesarkan oleh Allah s.w.t yang dipanggil Hari Raya Aidil Adha.

Setelah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, Baginda mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya, “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak Zaman Jahiliyyah lagi”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda,“Sesungguhnya Allah telah menggantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).

Haji perjalanan menuju Allah

Sesungguhnya ibadah haji yang merupakan Rukun Islam ke-5 mempunyai maani yang begitu mendalam dan perlu untuk kita memahaminya.

Seruan ibadah haji telah memanggil seluruh umat Islam. Mereka bangun dan meninggalkan segala kemewahan dan perhiasan dunia untuk menyahut panggilan Ilahi semata-mata untuk melaksanakan ubudiah dalam satu muktamar ibadah, yang mana penjemputnya ialah Allah s.w.t.

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالاً وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ  لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ

“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka mempersaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir.” (al-Haj: 28-27)

Sampainya mereka di tanah haram Makkatul Mukarramah berkumandanglah lafaz suci ini:

لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك، إن الحمد والنعمة لك والملك، لا شريك لك

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak asa sekutu bagi-Mu.”

Lambang ubudiah kepada Allah

Ubudiah kepada Allah s.w.t merupakan asas kepada wehdah insaniah. Umat manusia dari pelbagai bangsa dan warna kulit bersatu atas satu kalimah dan satu arah iaitu mengadap Rabbul Alamin.

Para hujjaj dengan tajarrud diri daripada dunia dan dengan ketulusan tawajjuh mengharapkan keampunan dan kebebasan daripada dosa seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah dengan sabdanya:

مَن حج ولم يرفث ولم يفسق رجع من ذنوبه كيوم ولدته أمه

“Sesiapa yang menunaikan haji dan tidak melakukan kefasikan ataupun perbuatan yang fasik akan diampunkan dosanya seperti ia baru dilahirkan oleh ibunya”. (Riwayat Ahmad)

Marilah kita mengukuhkan kesatuan sesama kita sesuai dengan anjuran Islam. Kerana hanya Islam yang akan kekal menjadi agama yang terunggul untuk manusia keseluruhannya. Malah perubahan zaman tidak mengubah sifat keistimewaan agama ini.

Marilah kita terus yakin dengan Islam dan berpegang teguh dengan tali Allah yang amat kukuh ini.

Akhirnya di kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1431H. Semoga dikurniakan dengan haji mabrur dan diterima ibadah qurban kita. Insya Allah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

 

Salam Ukhuwwah, Salam Mahabbah.

Sekian.

والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

%d bloggers like this: