Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Januari 2008

Kuat Tubuh Badan

Seorang muslim yang memahami Islam yang syumul hendaklah faham bahawa keperluan untuk membentuk diri yang syumul juga adalah merupakan satu tuntutan bagi diri. Tanggungjawab dan tugas-tugas yang dituntut atas setiap individu muslim memerlukan badan yang sihat dan kuat (Qawiyul Jism).

Rasulullah SAW menitikberatkan soal ini.

Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.” – maksud hadith.

Pesanan Hasan al-Banna, “..Memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan..

Sejak sekian lama, ISMA DHL mengadakan riadhah mingguan (bolasepak) untuk para muslimin pada pagi hari Ahad setiap minggu. Alhamdulillah, bilangan penyertaan semakin lama semakin bertambah.

Semua muslimin di sekitar Hulu Langat dijemput turut serta, menjalinkan ukhuwwah dan beramah mesra sesama kita.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Setiausaha ISMA DHL di talian 019-2310418 atau email noorikhwan@hotmail.com.

Read Full Post »

[Nota dan pengajaran dari Program Qiyam dan Sesi Perkongsian Ilmu ISMA DHL]

Letakkanlah dunia di tempat yang betul. Tarbiyah Rasulullah SAW telah berjaya meletakkan dunia dan harta di tempatnya di hati para sahabat-sahabat, iaitu bukan di hati tetapi di jari-jari mereka. Apa yang dihadapi oleh ummat Islam adalah natijah kerana tidak memahami hakikat ini. Hasil kecelaruan, hadirlah sifat takabbur yang menampan perubahan dalam diri. Lahir masyarakat ego yang tidak ada niat pun untuk berubah, tidak ada keinginan pun untuk meningkatkan diri untuk menjadi baik. Ketahuilah sekiranya kita niatkan hidup ini untuk dunia, maka kita akan dapat dunia. Sebanyak mana yang kita hasratkan, sebanyak itulah yang kita dapat. Maka hidup ini mesti ada NIAT yang betul.

Demikian juga dengan dakwah. Islam tidak berkembang kerana da’ie sendiri tidak berniat untuk berdakwah. Tidak ada masa yang diluangkan untuk memikirkan bagaimana untuk mencari mad’u dan mengembangkan kefahaman Islam. Malah da’ie sendiri pula yang tenggelam dan larut dalam budaya yang sama sekali tidak ada kaitan dengan tarbiyah yang telah dilalui. Sebenarnya tidak ada masa rehat bagi sekelian golongan da’ie. Masyarakat kini difahamkan bahawa mereka telah mengecap Islam yang sebenar. Walhal sebenarnya Islam Rasulullah SAW bersama para sahabat jauh daripada itu. Bagaimana boleh sama? Generasi para sahabat memang membaca Al-Quran sebagai manual hidup. Mereka membaca Al-Quran kerana memang mahu mengikut Al-Quran. Berbeza dengan generasi sekarang! Hatta adalah hakikat bahawa ceramah-ceramah umum di Malaysia bukanlah benda baru. Di sana sini masyarakat mencari pengisian jiwa dengan ceramah-ceramah. Tetapi ianya tidak mampu mengubah. Berbeza dengan proses Tarbiyah, walaupun mengambil masa, adalah cara yang terbukti dapat mengubah manusia.

Ingatlah!! Kita semua adalah musafir, hidup di dunia hanya sementara, menuju tempat yang ‘abadan abada‘. Masa kita berteduh di muka bumi hanyalah sementara. Apakah yang menyelamatkan kita? Adakah bekalan kita mencukupi? Allah SWT memberi gambaran kepada kita tentang apa bekalan yang mesti dibawa oleh orang beriman. As-Saff. Apakah itu perniagaan yang menyelamatkan kita dari api neraka? Yakni beriman kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Sejauh mana kita sudah bersedia untuk menghadapi Allah SWT? Allah SWT banyak memberi kita petunjuk-petunjuk dan amaran-amaran yang jelas dalam Al-Quran supaya kita takut dan bersedia untuk menghadapi hari akhirat.

Manusia tidak mungkin akan selamat tanpa usaha-usaha ammar maaruf nahi mungkar. Kita juga tidak akan selamat tanpa bersama usaha-usaha dakwah.

Read Full Post »

Bidadari Besi

Azimah Khaulah binti Aizuddin
Lahir pada: 17 Zulhijjah 1428 / 26 Dis 2007, jam 5:15pm,
di KPJ Hospital, Kajang, Selangor
dengan berat 2.89 kg

Jazakumullah kepada semua yang telah hadir ke kenduri aqiqah anak saya. Semoga anak ini terus dibesarkan dalam sunnah Nabi dan suasana ketaatan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW menuntut agar umat Islam memberi nama-nama yang baik kepada anak mereka. Ini kerana nama merupakan visi bapa kepada anak tersebut. Harapan dan cita-cita ke atas anak tersebut dipahatkan pada nama yang diberi. Lantas kita lihat umat Islam sepanjang zaman memberi nama-nama yang indah dan penuh makna kepada anak-anak mereka. Ada yang menamakan sempena nama-nama Anbiya’, para sahabat RA, tabi’in dan tokoh-tokoh Islam sepanjang zaman. Ada juga yang menamakan anak mereka dengan kuniyah-kuniyah sahabat Nabi SAW seperti Abu Bakr & Abu Hurairah, moga-moga anak-anak ini sehebat nama tokoh yang diberi.

Saya juga memberi nama anak perempuan, yang juga anak sulong saya berdasarkan nama seorang tokoh yang saya amat kagumi. Khaulah Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup di zaman Sahabat RA. Beliau adik kepada Zirar Al-Azwar yang kehandalannya di medan perang sememangnya tidak asing bagi bagi pencinta sirah Islam. Skil & teknik bertempur ini turut diwariskan kepada Khaulah oleh ayahnya Al-Azwar. Khaulah lantas menjadi seorang wanita yang mahir berpedang dan berkuda. Malah, pada ilmu saya, barangkali beliau merupakan wanita yang paling handal berlawan dalam sejarah Islam.

Episod-episod penglibatan Khaulah dalam perang-perang Islam tercatat dalam Maghazi Rasulillah hasil kompilasi Muhammad bin Umar Al-Waqidi Al-Aslami. Dalam perang Yarmuk, perang utama yang menjadi pembuka Syam, beliau menjadi salah seorang yang menonjol atau memimpin kaum wanita yang turut serta terlibat. Bahkan, beliau turut mengalami kecederaan di kepala dalam peperangan yang sangat bersejarah itu.

Namun, kisah kehandalannya bertempur yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya Zirar yang telah ditawan tentera Rom sewaktu satu penggempuran di sekitar Damascus. Lantas, Khaulah telah turut serta dalam operasi tersebut. Dengan berpakaian hitam, serban hijau dan menggunakan skarfnya sebagai topeng, beliau yang menyertai pasukan Khalid bin Al-Waleed meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat; membantu tentera Muslimin yang ketika itu sudah keletihan berlawan. Raafe bin Umaira, panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjubannya , ”Beliau berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukan Khalid”.

Khaulah mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Beliau meluncur laju ke arah barisan Rom, membunuh seorang dengan tombaknya, lalu meluncur ke arah barisan Rom di bahagian lain dan mencederakan atau membunuh tentera Rom yang lain. Pertempurannya secara solo itu ibarat menjadi satu pertunjukan kepada tentera Muslimin yang lain di samping membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang. Beliau akhirnya mendedahkan identitinya yang pasti mengejutkan sesiapa yang mengetahui (dicatatkan Khalid hampir-hampir terjatuh dari kudanya). Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Zirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin. Kisah masyhur ini turut di komikkan di Indonesia bertajuk ‘Bidadari Besi’.

Secara ringkasnya, begitulah ketokohan seorang Mujahidah Islam yang berani, handal, bijak, berakhlaq, tawadu’ & berjihad di jalan Allah. Semoga keazamannya terus subur dalam diri anak saya dan keluarga saya. Kerana itu, saya menamakan anak saya dalam Arabnya Azeematu Khaulatin (Semangat/Keazaman Khaulah). Semoga anak saya Khaulah, menjadi seorang Mujahidah, sehebat Khaulah Al-Azwar, yang bertungkus-lumus memartabatkan Islam di bumi ini sehingga akhir hayatnya. Para pembaca sekalian, saya perkenalkan Bidadari Besi saya, Azimah Khaulah.

Aizuddin Khalid
ISMA Hulu Langat

Read Full Post »

%d bloggers like this: