Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Oktober 2010

BANGI, 15 Oktober 2010 – Malam Bina Iman & Taqwa (MABIT) anjuran Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat (ISMA DHL) kali ini berlangsung dengan tema keruhanian yang unik: Jangan bertangguh untuk bertaubat. Program MABIT kali ini diterajui Saudara Aizuddin Khalid, Ketua Biro Pembangunan Belia ISMA DHL, dan dihadiri lebih 20 belia dari institusi-istitusi pengajian tinggi serta sekolah-sekolah di sekitar Bangi.

Pengisian siri MABIT kali ini disampaikan oleh Ust Salman Abdul Rahman yang membentangkan kisah Fudhail bin Iyyad dari generasi awal dalam sejarah Islam. Fudhail pada zaman gelapnya merupakan seorang perompak yang menyamun kafilah-kafilah dagang. Beliau amat digeruni sehingga laluan pedagang yang selalu dirompaknya terkenal dengan nama  “Jalan Fudhail”. Namun disebalik keganasan beliau, beliau mempunyai sudut hati yang lembut apabila jatuh cinta kepada seorang wanita. Pada satu malam, ketika beliau ingin memasuki rumah wanita tersebut untuk mengganggunya, beliau terdengar suara orang membaca Surah Al-Hadid, ayat 16 yang menyentuh dan menginsafkannya.

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. (57:16)

Beliau lantas bertaubat dan berubah menjadi seorang yang soleh, zuhud dan wara’. Beliau turut terkenal dengan gelaran ahli ibadah Haramain. Ramai ulama’ dan sahabat-sahabat Fudhail (spt Abdullah bin Mubarak) menjadi saksi akan kebaikan-kebaikannya yang dirakam dalam sejarah. Perubahannya sangat mengagumkan sehingga diletakkan sebagai tokoh No.1 dalam buku “Tokoh yang membuat aku terpegun”, karangan Said Ramadhan Al-Buti.

Taubat dan perubahan Fudhail inilah menjadi modal perbincangan MABIT kali ini. Ayat 57:16 turut menjadi ayat hafalan para peserta MABIT agar sentiasa menjadi inspirasi, ingatan dan seruan kepada taubat.

Sesudah pengisian Ust Salman, MABIT diteruskan dengan tadarus Al-Quran diikuti tasmi’ ayat hafalan sebelum para peserta dibenarkan tidur. Para peserta kemudian dikejutkan seawal jam 4 pagi untuk qiamullail bersama. Program disambung dengan solat Subuh berjemaah dan bacaan ma’thurat beramai-ramai.

Sebelum bersurai, saudara Aizuddin menutup program dengan tadabbur ayat 57:16. Beliau turut membawakan dalil-dalil yang menyeru agar berlumba dan bersegera kepada kebaikan dan akibat-akibat menangguhkan taubat.

MABIT bulanan adalah antara program tarbiyyah tetap anjuran ISMA DHL yang bertujuan memupuk & mendekatkan hubungan sebagai hamba kepada Allah SWT melalui pengisian-pengisian dan aktiviti ibadah.

Media ISMA DHL

Read Full Post »

Read Full Post »

%d bloggers like this: