Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Februari 2008

Kajang, 16 Feb – Program telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor. Antara lain, program ini bertujuan untuk memberikan kesedaran pelajar terhadap sejarah kegemilangan dan ketamadunan Islam, menanamkan semangat menjadi seorang muslim yang sebenar dan beramal dengan ajaran Islam.

Seramai 20 orang peserta putera dan 41 orang peserta puteri telah menghadiri kursus kali ini. Mereka terdiri daripada ahli badan dakwah dan rohani (BADAR), ketua pelajar (Pengawas), pemimpin rakan sebaya (PRS), dan AJK asrama.

Kursus dimulakan dengan kata-kata aluan Pengarah KRIM DHL memperkenalkan AJK KRIM DHL dan fasilitator bertugas. Kemudian, slot pertama bertajuk “Menyusuri sejarah hadharah Islam” dibentangkan oleh Saudara Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad dari AUSIS dan ISMA Melaka membawa pelajar kepada seerah nubuwwah dalam membina generasi awal Islam. Generasi awal Islam ditarbiyah dengan aqidah yang mantap dan keimanan yang jitu.

Seterusnya, slot kedua tajuk yang sama disusuri dengan sejarah pengembangan Islam zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin, perluasan kuasa empayar Islam oleh Khilafah Umaiyah dan kemuncak kegemilangan hadharah Islam di era Khilafah Abassiyah I. Di penghujung ceramah, peserta diajak bersama berfikir tentang realiti yang melanda umat Islam di masa kini dan bagaimana peranan boleh dimainkan oleh setiap individu tanpa seorang pun yang berkecuali.

Pada sebelah petang, kursus diteruskan dengan sesi bengkel yang dikelolakan oleh fasilitator untuk peserta (yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan peserta putera dan puteri) yang bertujuan memastikan peserta benar-benar faham tentang mesej yang disampaikan oleh penceramah pada sesi sebelah pagi. Di atas kefahaman ini, sesi perbincangan dalam bengkel diharap dapat membangkitkan semangat dan kesedaran peserta atas tanggungjawab beramal oleh setiap individu bagi memastikan Islam bangkit semula dan berada di tempat yang sepatutnya iaitu menjadi pemimpin dan peneraju dunia.

Di penghujung kursus, wakil daripada setiap kumpulan telah diminta tampil ke hadapan membentangkan pelan tindakan yang telah dibincangkan dan dipersetujui dalam sesi bengkel untuk dilaksanakan selepas tamat kursus. Pada keseluruhannya kursus ini menepati sasaran objektif yang telah ditetapkan dan para peserta juga masing-masing berpuas hati dengan perjalanan kursus.

Read Full Post »

%d bloggers like this: