Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Jun 2007

Bandar Baru Bangi, 2-3 Jun 2007 – Program Usahawan neXt telah berjaya dilaksanakan dan menarik minat seramai 20 orang remaja di Daerah Hulu Langat. Istimewanya program kali ini telah menarik perhatian wakil rakyat YB Dato’ Dr. Amran Kasimin yang sudi untuk merasmikan dan berkongsi pandangan serta pengalaman bersama remaja yang terlibat.

Pada hari pertama, para peserta telah dilibatkan dalam ceramah motivasi yang telah membuka minda para peserta bahawa segala kemampuan sebenarnya terletak “dalam minda anda!!!”, diikuti dengan forum bersama para ahli-ahli ISMA yang sudahpun melibatkan diri dalam bidang perniagaan untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan kemanisan dunia bekerja sendiri. Pada sebelah petangnya, para peserta telah menjalankan Projek Aprantis 1 di sekitar Bandar Baru Bangi di mana mereka telah melalui pengalaman ‘hands-on’ tentang bagaimana cara-cara menjual barangan yang telah disediakan oleh pihak penganjur kepada masyarakat.

Program hari ke-2 dimulakan dengan slot pengenalan “Intelligent Chess” oleh jurulatih catur berpengalaman dari Pulau Pinang, iaitu En Mat Zaki bin Yeop. Beliau berkongsi banyak maklumat dan pengalamannya dalam seni bermain catur di mana permainan yang mengajak pemain untuk banyak berfikir ini dikatakan berasal dari India lebih kurang 1,400 tahun lalu dan diperkembangkan oleh orang Islam semasa era empayar Islam selepas itu. Namun, fakta ini telah disembunyikan oleh Orientalis. Apa yang nyata sekarang ini, terdapat 1,000 orang pemain grandmaster catur yang dikuasai oleh pemain catur dari Barat yang kebanyakannya berbangsa Yahudi. Terdapat banyak kelebihan bermain catur antaranya seperti aplikasi merancang strategi dalam bidang keusahawanan, mengelakkan daripada nyanyuk bila mencapai usia tua dan lain-lain.

Program diteruskan dengan perkongsian pengalaman dan penyampaian bersahaja “Gergasi Jangan dibiar Tidur” oleh tokoh usahawan muda yang masih menuntut di IPT, iaitu Cik Ummul Khairiyah bt Abdul Rahman. Beliau bukan sahaja telah mengaut hasil keuntungan bulanan sebanyak 5 digit dalam usia muda, malah beliau juga cemerlang dalam pengajiannya dan mendapat pengiktirafan sijil dekan. Beliau sangat menekankan aspek praktikal dalam mencapai cita-cita yang dihajati peserta.

Seterusnya, tokoh usahawan berikutnya, En Aminuddin bin Yahaya, tidak kurang menarik perhatian peserta dengan penyampaian bertenaga beliau “Kau Harapan Kami”. Dalam pembentangannya, beliau banyak berkongsi maklumat antaranya statistik billionaire tanah air yang hampir keseluruhannya dikuasai oleh orang bukan Melayu. Beliau mencabar peserta untuk mengikut jejak beliau menjadi usahawan berjaya dan seterusnya menjangkau lebih jauh lagi dan termasuk dalam kelab billionaire Malaysia di masa hadapan.

Program disambung dengan sesi permainan catur oleh johan catur negeri Perak, En. Johan, yang telah berlawan secara serentak dengan 10 orang peserta dalam masa yang telah ditetapkan. Keputusannya berkesudahan dengan beliau menang 8 perlawanan dan selebihnya seri.

Akhir sekali sidang pleno oleh Pengarah Usahawan NeXt 2007, sdr Khairudin bin Mohd Ali dan wakil dari ISMA Entrepreneurship Program (IEP), En Abdul Rahman bin Mt Dali, berkongsi maklumat masing-masing tentang apa yang boleh dilakukan sebaik sahaja peserta keluar dari bilik seminar. Sdr. Khairudin telah menyampaikan sedikit pengenalan KRIM dan aktiviti-aktivitinya manakala En Abdul Rahman telah mencetuskan idea penubuhan Kelab Usahawan Muda di bawah IEP yang objektifnya khusus kepada membina suasana yang memfokuskan kepada keusahawanan di kalangan remaja.

Program disudahi dengan penyampaian hadiah pemenang Projek Aprantis 1 pada hari pertama dan penyampaian sijil penyertaan peserta.”

 

Read Full Post »

%d bloggers like this: