26 Ogos 2009 – Ustaz Muhammad Fauzi b Asmuni, Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), telah dijemput untuk menyampaikan pengisian ilmu di Surau Al-Hidayah, Multimedia University (MMU) Cyberjaya. Beliau telah membuat pembentangan tentang satu peristiwa peperangan yang cukup epik dalam sejarah yang berlaku pada 25 Ramadhan pada tahun 658H; iaitu Peperangan Ain Jalut.
…keadaan dan masalah-masalah sukar yang membelenggu umat Islam ketika itu hampir mirip dengan suasana yang dihadapi umat Islam kini.”
Peperangan yang berlangsung di bumi Palestin ini sangat penting dan bermakna kerana menyaksikan kebangkitan semula umat Islam selepas siri-siri kejatuhan negeri-negeri Islam dan kemuncak kejatuhan kekuasaan Islam di Baghdad di tangan Mongol. Lantas, umat Islam ketika itu telah mengambil sikap berani dan mencabar kuasa Mongol yang telah sekian lama berleluasa. Peperangan ini merupakan titik tolak yang berjaya membawa semula ketinggian Islam di bumi setelah umat Islam dihina dengan penjajahan dan kezaliman.
(Gambar kiri) Ustaz Fauzi Asmuni menyampaikam pembentangan beliau. (Gambar kanan) Solat tarawih berjemaah.
Ustaz Fauzi telah membentangkan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam yang berjaya diselesaikan Saifuddin Qutuz sebelum mampu membangunkan angkatan tentera yang mampu menghapuskan kemaraan Mongol. Antara masalah utama yang dihadapi umat Islam ketika itu adalah kemiskinan, perpecahan dikalangan umat Islam, khususnya rakyat Mesir dan pembelotan pemerintah-pemerintah Islam di negeri lain yang berdamai dengan Mongol. Qutuz berjaya menangani masalah kemiskinan dengan menyeru para pembesar Mesir menginfakkan harta mereka kepada negara. Beliau juga telah berjaya mendamaikan antara puak-puak di Mesir yang bertelagah sesama sendiri. Beliau kemudian berjaya melatih dan membangunkan semula barisan tentera Islam dalam masa 3 bulan. Qutuz juga berjaya meyakinkan dan mengubah persepsi pemimpin dan tentera Islam yang mulanya sekadar ingin mempertahankan Mesir di Kaherah, kepada keluar menyerang Mongol. Qutuz juga berjaya menarik dan menggabungkan tentera-tentera Syam dengan Mesir untuk bersama menyerang Mongol. Akhirnya, peperangan meletus di Ain Jalut Palestin pada 25 Ramadhan dan menyaksikan kekalahan besar tentera Mongol di tangan umat Islam seterusnya membuka pintu pengembalian kekuasaan Islam dalam sejarah.
Ustaz Fauzi mengatakan bahawa keadaan dan masalah-masalah sukar yang membelenggu umat Islam ketika itu hampir mirip dengan suasana yang dihadapi umat Islam kini. Maka, beliau menekankan bahawa metodologi pembangunan umat Islam pula seharusnya sama sebagaimana dilakukan Saifuddin Qutuz.
Umat Islam kini tidak sepatutnya menyerah kepada takdir dan menganggap keadaan yang dihadapi umat sekarang tidak mampu diubah. Umat Islam juga tidak seharusnya berasa lemah sehingga terpaksa senantiasa berkiblat ke barat untuk mencapai kemajuan ilmu dan budaya. Bahkan, suasana Islam dahulu cukup berlainan apabila Islam satu ketika dahulu merupakan rujukan ilmu, tamadun & teknologi. Bahasa Arab juga merupakan bahasa perantara ilmu yang utama. Oleh itu, umat Islam hari ini harus sedar akan tanggungjwab yang mesti dimainkan untuk mengembalikan Islam kepada kedudukannya yang tertinggi.
Akhir sekali, Ustaz Fauzi mengajak para hadirin untuk mengembalikan semangat & keazaman untuk menghadapi suasana umat yang semakin mencabar dewasa ini. Beliau berpesan bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan untuk berlemah-lemah, sebaliknya sejarah telah membuktikan bahawa telah berlaku banyak peperangan di bulan Ramadhan. Maka Ramadhan merupakan bulan untuk mencapai kemenangan ke atas nafsu, kelemahan diri dan musuh-musuh Allah.

Aizuddin Khalid
Ketua Biro Pembangunan Belia, ISMA DHL
http://addinkhalid.wordpress.com









