28 Ogos 2009 / 7 Ramadhan 1430 – Kelab Remaja ISMA Cawangan Hulu Langat (KRIM DHL) Puteri dengan kerjasama Az-Zahrah Multi-Intelligence Academy (AMPAC) telah berjaya menganjurkan satu program bersempena Ramadhan dan Hari Kemerdekaan ke-52 bertemakan ‘Remaja, Ramadhan dan Merdeka’ bertempat di ibu pejabat AMPAC. Program ini telah disertai 20 remaja puteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Objektif utama program ini adalah bukan sahaja untuk memberi pengisian spiritual tentang amalan-amalan dalam bulan ramadhan malah untuk memberi peluang kepada para peserta untuk merealisasikan yang dipelajari ke dalam bentuk amal perbuatan melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Di samping itu, pengisian tentang kemerdekaan dari persektif Islam turut diberikan agar para peserta sedar akan nikmat kemerdekaan dan menggunakan nikmat ini dengan sebaik-baiknya untuk terus memperbaiki diri menjadi muslim yang semakin baik daripada hari ke hari.
Antara aktiviti yang dilakukan oleh peserta adalah membuat tinjauan tentang Ramadhan dalam masyarakat melalui kutipan kajiselidik. Para peserta bergerak secara berkumpulan dengan berbekalkan soalan-soalan kajiselidik yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Antara soalan-soalannya adalah; apakah pengertian ramadhan?, berapa kerapkah anda bersedekah?, berapa juzukkah anda membaca Al-Quran dalam sehari?, berapa banyakkan anda berbelanja di bazaar ramadhan? dan seumpamanya. Tujuan utama aktiviti ini adalah sebagai refleksi diri bagi para peserta dengan harapan kesedaran untuk memperbetulkan dan memperbanyakkan amalan-amalan dalam bulan ramadhan akan tercapai dan berterusan dalam bulan-bulan seterusnya. Selain itu, aktiviti ini bertujuan melatih para peserta untuk mahir berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Selain tinjauan kajiselidik, para peserta juga membuat kutipan derma bagi mengisi tabung Aman Palestin untuk disumbangkan kepada muslimin dan muslimat di Palestin. Menerusi aktiviti ini, para peserta dilatih untuk berani dan sabar dalam berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat dalam usaha kutipan tersebut. Selain daripada itu, mereka turut mengedarkan brosur and kalendar imsakiyah terbitan Aman Palestin Berhad kepada masyarakat. Walaupun keletihan setelah seharian beraktiviti di luar, mereka telah memberi kerjasama yang baik dan berjaya menyempurnakan aktiviti-aktiviti ini hingga ke akhirnya dan memberi pengalaman yang tidak akan dilupakan kepada sesetengah peserta yang tidak pernah melakukan aktiviti-aktiviti seumpamanya sebelum ini.
Pada malamnya, para peserta menyertai majlis berbuka puasa di masjid dan bersama-sama berjemaah menunaikan solat fardhu dan sunat tarawih.
Program ini berakhir keesokannya dengan pembentangan daripada para peserta merangkumi hasil tinjauan kajiselidik, kutipan derma dan pengalaman mereka dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Pembentangan ini sangat bermakna kerana secara tidak langsung mereka dapat bersama-sama berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pandangan dalam sesuatu isu yang semestinya memupuk mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam mengupas isu terutamanya dalam isu-isu keagamaan yang jarang-jarang dititikberatkan.
Selama dua hari dan satu malam berprogram bersama, kami sebagai pihak penganjur sangat berpuas hati dengan maklumbalas dari para peserta yang rata-ratanya mengatakan bahawa program ini sangat bermanfaat kepada mereka dan kami berharap agar usaha kami ini tidak berhenti setakat itu sahaja malah apa yang telah dipelajari akan dipraktikkan dalam kehidupan seharian para peserta, insyaAllah.
Lizal Iswady
Ketua Biro Remaja









