
Ustaz Annuar Salleh, YDP ISMA DHL, bersama Dr. Tajul Ariffin Noordin, YDP Persatuan Penduduk BBBangi yang turut merasmikan Pejabat Urusan ISMA Cawangan Hulu Langat yang baharu.
Pada tanggal 27 Jun 2009 bersamaan 4 Rejab 1430H yang lepas Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat telah melancarkan pejabat urusan rasminya yang beralamat di 7-2-1, Jalan Medan Pusat Bandar 4A, Bandar Baru Bangi. Majlis dirasmikan oleh YBhg. Dr Tajul Ariffin Noordin, Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan dihadiri oleh tetamu jemputan daripada Jamaah Islah Malaysia, JASA, Masjid Hasanah dan Surau Al-Amirin. YB Dr. Shafie Abu Bakar, ADUN Bangi yang sepatutnya hadir merasmikan majlis tersebut terpaksa membatalkan hasratnya kerana menghadiri mesyuarat tergempar bersama YAB Menteri Besar Selangor.
YBhg Dr. Tajul dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada ISMA Hulu Langat kerana berjaya melancarkan pejabat operasinya dan mengharapkan agar ianya mampu melonjakkan lagi aktivisme pembangunan keluarga, belia dan remaja yang menjadi antara agenda utama penubuhannya. Beliau juga mengharapkan agar kerjasama yang baik di antara dua organisasi ini sejak berlangsungnya Kempen Selamatkan GAZA yang lepas dapat diteruskan dan ditingkatkan.
“Persatuan Penduduk merasa gusar dengan peningkatan gejala sosial di kalangan remaja Bandar Baru Bangi yang 20 tahun dulu tidak begini. Sudah tentu kami tidak mampu untuk membuat banyak program. Oleh itu kami mengharapkan agar ISMA dapat bersama-sama memainkan peranannya dalam membendung gejala negetif yang semakin menular ini” Ujar Dr. Tajul.
Sementara itu Ustaz Anuar Salleh selaku YDP ISMA Hulu Langat yakin bahawa pelancaran pejabat ini tepat pada masanya kerana ia dapat memperkenalkan ISMA di mata masyarakat. Bermula dengan pelancaran pejabat ini ISMA Hulu Langat akan mengorak selangkah lagi ke depan membawa agenda perpaduan Islam dengan menjadikan bangsa Melayu sebagai tonggak.
Pada kesempatan lain, Sdr. Mohd Noor Azib selaku Naib YDP menyebutkan bahawa beberapa perubahan dalam struktur jawatankuasa ISMA Hulu Langat akan dilakukan bagi menampung keperluan mencapai objektif 2010. Di antara lain ialah dengan memasukkan AJK baru sebagai Pengerusi Biro Remaja dan Pembangunan Belia, mewujudkan Biro Ekonomi, memperkasakan Biro Wanita dan Biro Dakwah.
Para hadirin rata-ratanya mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelancaran pejabat ini yang setanding dengan pejabat-pejabat rasmi kerajaan dan korporat. Pejabat ini juga akan dijadikan pusat pendidikan dan latihan di sebelah siangnya dan pusat kegiatan di sebelah malamnya. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada ISMA dan ahli-ahlinya.









TAHNIAH! Semoga Allah memberkati ISMA dan perjuangannya untuk menegakkan kalimah “La Ila ha IllaAllah” (Tiada Tuhan Yang disembah Melainkan Allah).
Semoga ahli-ahli baru dan lama akan terus bersemangat mengorak tanggungjawab dakwah ini.