KUALA LUMPUR – Mempelajari sains sambil dapat mengaplikasikannya merupakan satu pengalaman yang menarik bagi ahli Kelab Nadi Asybal wa Zahrawat ISMA (NAZIM). Kanak-kanak sekitar Daerah Hulu Langat (DHL) seramai 41 orang telah berkesempatan melawat Pusat Sains Negara (PSN) pada akhir cuti sekolah baru-baru ini. Lima pengiring ditugaskan menjaga dan mengawal aktiviti peserta. Sebuah bas khas telah disewa untuk membawa peserta ke sana dan bertolak pada pukul 9 pagi. Peserta dibekalkan sandwich sebagai sarapan. Setelah tiba, peserta berkumpul untuk mendengar sedikit penerangan dan nasihat dari ketua lawatan kemudian bergambar untuk kenangan. Sekali lagi penerangan diberikan oleh petugas PSN. Peserta berpeluang menjelajah pelbagai jenis pameran di ruang legar dan setiap bilik bangunan tersebut.
Seterusnya, petunjukan magic sains oleh beberapa sukarelawan PSN telah diadakan. Peserta dari NAZIM tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. Akhir sekali, peserta dapat melihat dari luar, aktiviti penyelam memberi makanan kepada ikan-ikan di dalam akuarium. Sebelum pulang, peserta sempat ke kedai cenderahati dan membeli sedikit makanan. Tepat pukul 2 petang, peserta tiba di pejabat ISMA Pusat dan pulang selepas makan tengahari dan solat Zohor berjemaah.
Semoga program ini dapat menyuntik semangat dan galakan kepada peserta untuk meminati dan menerokai bidang sains dan teknologi serta melahirkan saintis muslim yang produktif.
Zahratul Sobah Zulkifli





