Bandar Baru Bangi, 6 Julai – Satu program yang diberi nama “Jurutera Di Jalan Dakwah” telah berlangsung di Pejabat ISMA Bandar Baru Bangi dengan kehadiran hampir 30 orang peserta, termasuk jurutera-jurutera dari kalangan ahli ISMA Hulu Langat, mahasiswa-mahasiswa jurusan kejuruteraan dari IPT-IPT sekitar Hulu Langat, Sepang dan Banting serta beberapa pelajar sekolah. Program ini adalah satu bentuk perkongsian pengalaman dari kalangan jurutera-jurutera ISMA Hulu Langat untuk memberi pendedahan kepada para jurutera, mahasiswa & para pelajar tentang alam kerjaya sebagai jurutera yang turut bergiat dalam aktiviti dakwah Islam.

“Islam dan Kejuruteraan”, disampaikan oleh Saudara Nazif Emran, seorang jurutera elektrikal, graduan dari University of Southern California.
Program bermula dengan Solat Zuhur dan makan tengah hari dan diikuti dengan sesi ta’ruf dimana para jurutera turut memperkenalkan diri, latarbelakang pelajaran & kerjaya. Program kemudian diisi dengan satu pembentangan bertajuk “Islam dan Kejuruteraan” oleh Saudara Nazif Emran, seorang jurutera elektrikal, graduan dari University of Southern California. Pembentangan beliau menekankan kefardhuan kejuruteraan di sisi Islam dalam membawa umat kepada kemajuan, memudahkan urusan hidup manusia, disamping menjadi satu skop yang perlu dikuasai sebagai khalifah Allah di bumi. Beliau turut memberikan beberapa garis panduan dan nasihat kepada para jurutera Muslim, terutama agar mempamerkan akhlak Islam dalam setiap keadaan dan menggunakan setiap peluang dalam kerjaya untuk dakwah Islam.

'Talk Show' bersama Saudara Yusri Ali, seorang jurutera mekanikal dan Saudara Syakir, seorang mahasiswa dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat.
Program kemudian disusuli dengan satu “talk show” bersama tetamu: Saudara Yusri Ali, seorang jurutera mekanikal dan Saudara Syakir, seorang mahasiswa dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat. Talk show ini dikendalikan oleh Saudara Rusman Arief, seorang jurutera perisian, graduan dari University of Melbourne, Australia, yang kini bekerja dengan sebuah syarikat Belgium di Petaling Jaya. Saudara Yusri banyak berkongsi pengalamannya sebagai jurutera di beberapa syarikat berbeza dan mengkhabarkan bahawa kehidupan sebagai jurutera sentiasa terdedah kepada cabaran-cabaran baru. Saudara Syakir pula memberi penerangan kepada para hadirin mengenai jalan-jalan yang boleh dilalui untuk mencapai cita-cita sebagai jurutera. Beliau turut memberi gambaran tentang kehidupan sebagai pelajar kejuruteraan dalam arus kerancakan teknologi hari ini yang semakin meluas. Talk show ini juga dicelah dengan komen-komen dan pendapat-pendapat dari mahasiswa-mahasiswa dan jurutera-jurutera yang turut sama hadir serta lontaran soalan spontan daripada para pelajar sekolah.
Program “Jurutera Di Jalan Dakwah” ditutup dengan ucapan ringkas dari saudara Aizuddin Khalid, seorang jurutera petroleum, dengan tajuk “Dakwah=Constant; Career=Variable”. Beliau menekankan bahawa kareer yang berbeza atau berubah-ubah tidak sepatutnya menjadi penghalang seseorang daripada melibatkan diri dalam amal Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa para sahabat Nabi S.A.W. terdiri daripada insan-insan yang pelbagai latarbelakang, namun, sama-sama mampu memikul bebanan Islam dan mengembangkan dakwah Islam. Beliau turut menasihatkan agar perlunya setiap individu mempunyai keazaman yang tinggi dan tolakan dalaman yang kuat agar mampu kekal beramal di jalan dakwah.

"...kareer yang berbeza atau berubah-ubah tidak sepatutnya menjadi penghalang seseorang daripada melibatkan diri dalam amal Islam."
Para peserta cukup berpuas hati dengan perjalanan dan pengisian program. Mereka mencadangkan agar jurutera-jurutera di dalam ISMA menganjurkan program-program dan aturan-aturan tersendiri dalam usaha mendekati masyakarakat, menyampaikan Islam dan menunjukkan qudwah Muslim dalam kerjaya sebagai jurutera.








Tahniah.. semoga antum menjadi pemuda dakwah yang tidak pernah kenal penat lelah. Status engineer di bahu kiri, tetapi status daie dibahu kanan.. hinggalah kita bertemu dengan Allah swt.